Kerajaan Melayu Sriwijaya: Bayangan Kepemimpinan dan Kepengurusannya Maklumat
yang dipaparkan di sini diperoleh dan diolah daripada internet dengan
meminta “indonesian history”, srivijaya, sailendra, khususnya di
Internet 1.8 di dalam senarai rujukan buku ini dan juga daripada buku
Chatterji (1967), Sastri (1949), dan Slametmuljana (1970,1981), dan
lain-lain yang dinyatakan dalam teks di tempat-tempat yang berkenaan.
Kerajaan
Sriwijaya (atau Srivijaya) wujud pada akhir abad ke-7M hingga ke-13M
berpusat di Palembang, Sumatera dan pada kemuncaknya keluasan empayarnya
benar-benar meliputi rantau yang terkenal sebagai Alam Melayu, iaitu
hingga ke Sri Lanka (dikenali pada Zaman itu sebagai
Sirandip/Suvarndip/Silan), Thailand Selatan, hingga ke Taiwan di Utara,
dan merangkumi Philippina dan Sulawesi ke Timur dan hingga sebahagian
besar pulau Jawa di Selatan (Shaharir 1987/2000). Kewujudan seorang raja
negeri yang sekarang namanya Sri Lanka pada masa dahulu kala yang
bernama Serendip yang dikatakan selalu mendapat nasib yang baik itulah
menyebabkan Inggeris tertarik untuk menjadikannya satu perkataan baru
bagi Inggeris, iaitu serendipaty, yang membawa maksud itu. Pusat
pemerintahan kerajaan Sriwijaya yang awal ialah Bukit
Seguntang/Siguntang, tetapi kemudian berpindah ke Jambi (yang dicatat di
prasasti di Batang Hari 1286M itu sebagai malayapura), dan ada pendapat
mengatakan Chaiya (daripada “Cahaya”) di Surat Thani, Thailand Selatan
sekarang pun pernah menjadi pusat Kerajaan Sriwijaya apabila kerajaan
Langkasuka dapat dijadikan jajahan takluknya (Lihat Internet 1.12; dan
seksyen 1.9). Berkenaan Bukit Seguntang sebagai pusat pemerintahan
Sriwijaya itu amatlah bersesuaian dengan cerita dalam Sejarah Melayu
oleh Tun Sri Lanang (1612) itu. Kerajaan Campa masih wujud dan menjadi
saingan kerajaan Sriwijaya, tetapi ternyata Kerajaan Sriwijaya-lah yang
diiktiraf gagah dan bertamadun yang lebih tinggi seantero dunia
sebagaimana yang digambarkan oleh catatan dalam bahasa China sebagai
negara komersil dan kerajaan yang besar dengan pelbagai nama (apabila
ditranskripsi ke Rumi oleh Sarjana Barat). Antaranya ialah
Syel-li-fo-sye’/She-li-fo-she’/shelifosche/Se-li-fo-se/San-fopts’i/Sanfotsi/
Fo-che dalam kurun ke-10 hingga ke-14M, tetapi pada abad ke-7M
(peringkat awal Kerajaan Sriwijaya) penulis China merujuknya sebagai He
Ling dan Ka Ling, atau nama Sumatera, iaitu Ku-Kang,
P’o-lin-pang/Pao-lin-pang/Pa-lin-pang/Pa-lin-fong. Sumber Hindu ada yang
merujuk Sriwijaya ini sebagai Sribhoja, dan ada yang merujuk dengan
nama tempat kerajaan Sriwijaya sahaja, iaitu Suvarnadvipa (Sumatera).
Sumber Arab menyebut Sriwijaya sebagai Zabaj/zabag/Sribuza/Sribusa
(apabila sarjana barat mentranskripsikannya kepada Rumi) iaitu daripada
Sribhoja itu, dan ada yang merujuk atas nama tempat kerajaan ini,
sebagai Rami/Ramini/Ramni (iaitu Sumatera, walaupun ada yang berpendapat
ini juga merujuk kepada Mon) yang pelbagai.
Mengikut Zulkifli
(t.t), pada sekitar 692 (selepas matinya Maharaja Raja Jayanaga),
Kerajaan Sriwijaya terbahagi kepada dua bahagian: kawasan Langkasuka
yang diberi nama barunya Amdan Negara diletak di bawah anak tua mendiang
raja itu, Maharaja Dipang; dan anak keduanya, Maharaja Dhiraja,
memerintah Sumatera dan tanah jajahan Sriwijaya yang lain. Selepas
beberapa tahun demikian, sebahagian daripada Amdan Negara, iaitu
kira-kira Kelantan sekarang diberi nama Tanah Serendah Sekebun Bunga,
dan nama ini masih dipakai di Kelantan dan dalam Mak Yong dan Wayang
Kulit Kelantan. Pada 730M ibu kota Sriwijaya di Sumatera, Langkapura di
Palembang, berpindah kepada Kota Mutajap yang hampir dengan muara sungai
Jambi di Sumatera.
Bukti kehebatan pengurusan zaman Sriwijaya
(bersama kerajaan Sailendra di Jawa Barat dan Tengah sekarang) juga
terpancar daripada penyiapan Candi Borobudur di Yogyakarta, Jawa Tengah
yang dibina di sekitar abad ke-8M dan menjadi satu daripada benda ajaib
dunia itu. Ilmuwan China bernama I-Ching/I-Tsing/Ye-Shing/Yi Jing
688-695M berada di Palembang untuk menyalin ratusan buah buku ilmu dalam
bahasa tempatan (Melayu) yang dirujuki sebagai Kunlun (dan
berbagai-bagai ejaan yang lain lagi itu termasuk ejaan sarjana Perancis:
Koeun Louen) yang asal-usul perkataan ini telah dibicarakan dalam Bab
1, seksyen 1.6.
Bukti yang jelas betapa sistem pemerintahan dan
pengurusan zaman Sriwijaya berupa suatu keadaan yang dikagumi ialah
pengakuan seorang pegawai kastam dari China pada abad ke-13M yang
bernama Cau (Chau) Ju-Kua yang mencatatkan pentadbiran Sriwijaya yang
hebat dan teknologi yang canggih tentang pelabuhan di Sriwijaya dan
tentang kehebatan Wat Angkor. Satu lagi bukti pengurusan yang berbezanya
dengan tamadun-tamadun lain sezamannya atau sebelumnya ialah betapa
rekod-rekod pengurusan perniagaan dan sebagainya dapat dilakukan dengan
lebih mudahnya dengan adanya sistem angka perpuluhan rekaan sarjananya
selewat-lewatnya abad ke-7M lagi seperti yang dihuraikan oleh penulis
ini di tempat lain itu (Shaharir 1998/2000). Ringkasnya, sistem angka
perpuluhan ini dikumpul oleh penulis ini daripada prasasti (batu
bersurat) zaman Sriwijaya dan bentuk seperti tulisan Hindia purba
(khususnya Pallava) tetapi berbeza daripada angka-angka Hindia itu.
Malah kajian kami selanjutnya (Shaharir 2007 dan Alinor 2007)
menunjukkan angka perpuluhan Melayu ini boleh dipercayai yang tertua di
dunia hasil karya sarjana Melayu Campa atau Funan lagi. Contoh angka
Melayu kuno ini ialah ……………untuk angka 1945. Beberapa unit bilangan yang
berupa awalan berbentuk bi-/dwi-, tri-, catur-/kater-, panca-/sanki-,
sisi-, sita-/septa-, witi-/asta-, nuka-, wisyi-/dasa- (terkenal sebagai
penjodoh bilangan, atau pekali angka) dipercayai telah wujud dalam zaman
Sriwijaya lagi; dan tiada padanan sepenuhnya dengan yang dicipta di
Eropah mulai abad ke-13M hingga ke-17M sahaja itu (iaitu by-/bi-, tri-,
quadri-, quyl-, six-, septi-, octa-, nony-/noni-) dan tiada juga padanan
sepenuhnya dengan yang dicipta dalam Tamadun Hindu. (Perinciannya dalam
Warkah Berita PERSAMA 2004). Bilangan laksa, keti dan juta sudah ada
zaman Sriwijaya tetapi di Barat, million baru dicipta abad ke-13M bahkan
tiada unit Barat yang setara dengan laksa dan keti.
Dalam buku
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang 1612 (asalnya
manuskrip Jawi) ada menggambarkan corak kepemimpinan dan kepengurusan
Melayu sebelum Islam yang boleh dianggap Sriwijaya kerana merujuk
Palembang. Di dalamnya ada perihal sumpahan raja pertama Melayu di
Palembang, Sang Utama Sri Tri Buana dengan Demang Lebar Daun
(Menterinya, yang mewakili pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat jelata)
yang sekaligus memberi sifat-sifat pemimpin atau pengurus Melayu dan
orang Melayu Sriwijaya:
1. Raja tidak boleh sekali-kali memalukan orang bawahnya walau sebesar mana sekalipun dosa orang bawahannya itu.
2. Raja tidak sepatutnya digodak-godek, dipertanggungjawabkan atau di kutuk dengan kata-kata yang tidak menyenangkan.
3. Orang Melayu pantang menderhaka kepada rajanya, malah orang Melayu tidak sanggup menunjukkan apa-apa kelemahan rajanya.
Ini
menjadi ciri-ciri kepemimpinan Melayu yang perlu disedari atau diinsafi
oleh pemimpin-pemimpin sekarang sekalipun apabila “raja” dalam 1 hingga
3 di atas itu digantikan dengan “pemimpin”. Umpamanya, ketua dalam
organisasi Melayu tidak seharusnya menegur seseorang bawahannya di
khalayak ramai atau di hadapan para pekerja lain. Ini bertentangan
dengan budaya Barat yang terbuka itu.
No comments:
Post a Comment